DA Silva (dua kanan) menyumbat gol penyamaan PKNP pada babak pertama di Manjung. — FOTO Effendy Rashid
Noor Hidayah Tanzizi
sukanteam@nstp.com.my


PKNP FC berjaya mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

JDT kendalian Benjamin Mora terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah sebaik sepak mula dengan asakan bertali arus.

Hasilnya pada minit kelima, Diogo Luis Santo berjaya menjaringkan gol melalui sepakan kencang menewaskan penjaga gol PKNP, Khairul Thaqif Shah.

Tersentak dengan gol itu, anak didik Abu Bakar Fadzim mula memperkemaskan permainan dan berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-14 menerusi tolakan mudah Ramon Da Silva susulan tandukan Giancarlo Lopes Rodrigues.

Pada babak kedua, JDT berpeluang untuk kembali mendahului pada minit ke-56 selepas dihadiahkan sepakan penalti.

Namun, Gonzalo Cabrera gagal menyempurnakan sepakan penalti itu selepas tendangannya melambung tinggi melepasi palang gol tuan rumah.

Aksi kedua-dua pasukan mula panas apabila mereka bernafsu mencari gol hingga menyebabkan pemain tengah JDT, Afiq Fazail dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain tuan rumah.

Hasil keputusan itu, JDT kekal mendahului 13 mata di depan pasukan tangga kedua Pahang yang seri 0-0 dengan Kedah di Alor Setar. JDT mengumpul 40 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 11:49 PM