SITI Zulaikha Husain (kanan) beraksi ketika bertemu Perancis pada aksi playoff lewat malam tadi. — FOTO Konfederasi Hoki Malaysia
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


REKOD tidak memihak mereka namun ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah semakin teruja untuk menewaskan pasukan ranking ke-11 dunia, Korea Selatan pada separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland malam esok.

Semangat Dhaarma dan pemain negara lebih berkobar-kobar kerana jika dapat menewaskan Korea, mereka mara ke final sekali gus mencipta sejarah layak beraksi pada kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Semua tahu mereka bukan pasukan biasa biasa kerana Korea sering membuat penampilan pada Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

“Selain itu jurang ranking kami dengan mereka agak berbeza dengan Korea di kedudukan ke-11 dan kami pula ke-22.

“Korea juga pasukan pilihan pada kejohanan ini dan kami belum pernah menewaskan mereka,” katanya.

Jelas Dhaarma, dalam usaha untuk mengejutkan Korea, skuad negara perlu mempamerkan strategi berbeza berbanding perlawanan sebelum ini.

“Kami tidak boleh mempamerkan corak permainan terbuka seperti bertemu Perancis dan Republik Czech.

“Tapi kami perlu memberikan fokus kepada pertahanan kerana Korea Selatan pasukan yang mantap.”

Rekod pertemuan tiga perlawanan terakhir menyaksikan skuad negara gagal mengatasi Korea dengan pertemuan kali terakhir di Trofi Juara-Juara Asia di Donghae tahun lalu anak buah Dhaarma tewas 1-3.

Skuad negara mara ke separuh akhir selepas menewaskan Perancis 3-2 pada aksi playoff lewat malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 6:35 PM