Pelumba menamatkan saingan peringkat ketiga Tour de Korea. FOTO TSG
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PASUKAN benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) terlepas jersi kuning Tour de Korea selepas berakhir peringkat ketiga dari Danyang ke Samcheok, hari ini.

Kesilapan kelompok besar pelumba membenarkan dua pelumba melakukan pemecahan sejak pertengahan perlumbaan mengundang padah apabila Ben Perry (Israel Cycling Academy) dan Filippo Zaccanti (Nippo Vini Fantini Faizane) gagal dikejar sehingga garisan penamat.

Tidak seperti dua peringkat awal yang berakhir dalam kelompok besar, Perry dan Zaccanti bersaing sesama sendiri melintasi garisan penamat dengan pelumba Israel Cycling Academy berjaya melintasi garisan penamat dengan masa empat jam seminit 18 saat.

Bagaimanapun masa terkumpul dimiliki Zaccanti sudah cukup untuk membolehkan dia merampas jersi kuning dari pelumba TSG, Youcef Reguigui yang menyarungnya di peringkat kedua semalam.

Harapan Youcef untuk merampasnya kembali dilihat sukar dengan Youcef berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan perbezaan lebih seminit.

Bagaimanapun pelumba TSG dari Algeria berkenaan masih mengekalkan jersi pecut dengan mengumpul 44 mata namun hanya dibezakan empat mata dari pelumba Team UKYO, Raymond Kreder.

Dia perlu menambah mata pada peringkat keempat esok dari Samcheok ke Goseong sekiranya mahu mengekalkan jersi pecut sehingga berakhir perlumbaan, Ahad ini.

Perlumbaan Tour de Korea sebanyak lima peringkat yang berstatus 2.1 dalam kalendar Jelajah Asia membabitkan 19 pasukan bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:32 PM