Khairul Anuar impi bergelar juara dunia. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PEMANAH negara, Khairul Anuar Mohamad menjanjikan aksi terbaik dalam aksi final recurve individu pada Kejohanan Dunia di’s-Hertogenbosch, Belanda, Ahad ini.

Atlet berusia 27 tahun berkenaan yang turut meraih tiket individu ke Olimpik 2020 berpeluang menempa sejarah sebagai pemanah pertama negara bergelar juara dunia selepas melakar kejutan mara ke pentas final malam tadi.

"Saya tidak pernah terfikir mara sehingga ke final kerana tekanan yang tinggi untuk memburu slot Olimpik dalam acara individu ini.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku sehingga berjaya mara ke final.

Saya akan memberikan sebaik mungkin kerana ia hanya selangkah lagi (bergelar juara dunia)," kata pemanah di ranking ke-22 dunia itu.

Aksi final menentang jaguh Amerika Syarikat (AS), Brady Ellison ibarat ‘berat sebelah’ berdasarkan reputasi dan pencapaian yang dimiliki lawan terutamanya prestasi dipamernya pada tahun ini.

Pemanah di ranking ketiga dunia berusia 30 tahun itu sudah muncul juara pada dua siri Piala Dunia selain selain tempat ketiga pada saingan di Shanghai.

Berbanding Khairul Anuar yang masih belum meraih sebarang kejuaraan di siri Piala Dunia, lawannya sudah mengumpul 19 emas bagi acara individu dan berpasukan.

Bagaimanapun di sebalik pencapaian cemerlangnya, gelaran juara dunia individu masih belum mampu dikecapinya bagi melengkapkan pencapaian gemilangnya yang secara tidak langsung menambahkan lagi tekanan kepadanya.

Malah rekod pertemuan Khairul Anuar dan Ellison terikat 1-1 selepas mereka hanya pernah bertemu dua kali di pentas antarabangsa.

"Saya masih berbaki satu perlawanan (final) dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

Saya sudah mempamerkan aksi yang baik di kejohanan ini dan mahu meneruskannya.

Saya berharap ia akan mencukupi," katanya yang sudah enam kali beraksi di Kejohanan Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 3:26 PM