KHAIRUL Anuar layak ke final Kejohanan Dunia, Ahad ini. — FOTO Majlis Sukan Negara
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PEMANAH negara tidak pulang dengan tangan kosong dari Kejohanan Dunia di Belanda selepas Khairul Anuar Mohamad meraih satu dari empat tiket individu ke Sukan Olimpik 2020.

Kejayaan itu hadir selepas Khairul Anuar mara ke separuh akhir apabila menewaskan Jack Williams dari Amerika Syarikat 7-3 pada suku akhir.

Ia disahkan pengurus sukan memanah Majlis Sukan Negara (MSN), Ismail Salleh yang turut berada di ‘s-Hertogenbosch, Belanda.

Malah pemanah kelahiran Terengganu itu berpeluang bergelar juara dunia buat kali pertama selepas mengesahkan tiket ke final apabila menumbangkan Md Ruman Shana dari Bangladesh 7-3 pada separuh akhir.

Dia akan bertemu jaguh utama AS, Brady Ellison yang menewaskan Mauro Nespoli dari Itali 7-1 pada final Ahad ini.

Kejayaan menempah tiket dalam acara individu mengubat kekecewaan gagal dalam acara berpasukan seperti yang disasarkan selepas kecundang pada peringkat awal.

Beberapa hari lalu di ‘s-Hertogenbosch, atlet paralimpik S Suresh menceriakan negara apabila bergelar juara dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 12:21 AM