Ramos (kiri) tidak menjemput Ronaldo ke majlis perkahwinannya. FOTO REUTERS
Agensi/Esme Jo

SERGIO Ramos menjemput beberapa pemain bintang ternama menghadiri majlis perkahwinannya, minggu ini tetapi kapten Real Madrid itu langsung tidak menjemput bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo.

Ramos bersedia untuk mengahwini bintang televisyen Pilar Rubio di sebuah gereja terkenal di Seville, hujung minggu ini.

David Beckham serta isteri, Victoria dilaporkan akan menghadiri majlis itu termasuk musuhnya dari Barcelona, Gerard Pique bersama teman wanitanya, Shakira.

Menurut akhbar Marca, Ramos dan Pilar menjemput seramai 500 tetamu dalam apa dianggap sebagai pencabar kepada 'perkahwinan tahunan terbaik' di Sepanyol.

Malah, pasangan itu turut menempah kumpulan legenda hard rock, AC/DC untuk membuat persembahan pada majlis itu.

Ia dilaporkan persembahan ekslusif band ikonik Australia itu untuk pasangan terbabit mencecah £900,000 (RM4.8 juta).

Ketiadaan Ronaldo atau CR7 adalah disebabkan perbalahan antara dua pemain terbabit selepas dia meninggalkan kelab gergasi La Liga itu musim lalu untuk menyertai Juventus.

Pemain handalan Portugal itu mencari pengalaman baru selepas meraih meraih gelaran ketiga Liga Juara-Juara (UCL) bersama Madrid.

Ramos pula langsung tidak mahu berbaik semula dengan CR7.

Perkahwinan Ramos juga akan dihadiri oleh pengurus Real, Zinedine Zidane dan presiden kelab, Florentino Perez.

Bekas penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas juga dijemput tetapi kehadirannya belum dipastikan selepas terkena serangan jantung baru-baru ini.

Gereja untuk perkahwinan itu terletak di kampung halaman Ramos tetapi penduduk tempatan menjangkakan sukar untuk mendekatinya berikutan persekitaran dikawal ketat sepanjang majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:02 PM