Youcef (jersi kuning) menjuarai peringkat kedua Tour de Korea. FOTO TSG Cycling Team
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


TERENGGANU Inc TSG Cycling Team (TSG) menerusi Youcef Reguigui menyarung dua jersi utama selepas berakhir peringkat kedua Tour de Korea, hari ini.

Pelumba dari Algeria yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dari Cheonan ke Danyang sejauh 161.6 kilometer meraih jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan dengan mengumpul lima jam 11 minit 1 saat.

Dia mengatasi pencabar terdekatnya dari Team UKYO, Raymond Kreder dengan kelebihan lima saat manakala Corbin Strong dari St George Continental Cycling Team ketiga dengan perbezaan 12 saat.

Selain itu, dia turut mengekalkan jersi biru bagi kategori pecut dengan mengumpul 35 mata diikuti Kreder dengan 28 mata.

"Sasaran pasukan untuk mencapai kedudukan podium sudah tercapai kerana dia turut meraih tempat kedua pada peringkat pertama semalam.

"TSG tidak meletakkan sasaran jersi kerana pada awalnya mahu dua pelumba berada dalam kedudukan 10 terbaik bagi individu keseluruhan," jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Bagaimanapun dengan situasi semasa, beliau menjelaskan TSG akan cuba mempertahankan sekurang-kurangnya jersi kuning dalam baki tiga peringkat lagi.

Selain Youcef, lima pelumba TSG yang menggalas cabaran di Korea adalah Nur Amirull Fakhruddin Marzuki, Metkel Eyob, Maral Erdene, Artem Ovechkin dan Drew Morey.

Perlumbaan kategori 2.1 dalam Jelajah Asia berlangsung dengan lima peringkat dijadual berakhir Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 3:55 PM