FROOME tidak dapat menyertai Tour de France bulan depan.
Reuters

JUARA empat kali Tour de France dari Britain, Chris Froome terpaksa melupakan kejohanan itu bulan depan selepas mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang paha susulan kemalangan ketika menyertai Criterium du Dauphine, menurut Team Ineos, semalam.

Froome, 34, dikejarkan ke hospital selepas terlanggar tembok pada kelajuan tinggi di Roanne dengan doktor pasukan, Richard Usher mengesahkan pelumba itu turut patah tulang siku.

"Chris dibawa ke Hospital Roanne dan pemeriksaan awal mendapati dia mengalami pelbagai kecederaan terutamanya patah tulang siku kanan dan paha selain retak rusuk,” kata Usher.


FROOME diterbangkan ke Hospital Universiti St Etienne. - FOTO AFP

Froome kemudiannya diterbangkan ke Hospital Universiti St Etienne untuk rawatan lanjut.

Pengurus pasukan, Dave Brailsford mengesahkan Froome terpaksa melupakan Tour de France ekoran tragedi itu.

"Ia kemalangan yang serius. Sudah pasti dia tidak akan menyertai Tour de France dan memerlukan masa yang lama untuk pulih.”

Froome yang juga juara enam kali Jelajah Utama bertanding di Criterium du Dauphine sebagai persediaan menghadapi Tour de France yang bermula di Brussels pada 6 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 8:47 AM