James mengikat kontrak bersama Red Devils selama 5 tahun. -Foto manutd.com
AFP

MANCHESTER United melengkapkan urusan pembelian Daniel James dari Swansea, umum kedua-dua kelab itu hari ini, dengan pemain sayap Wales berusia 21 tahun itu muncul pemain pertama diikat pengurus Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford.

James menandatangani kontrak lima tahun dengan pilihan untuk menyambung bagi tahun berikutnya. Laporan menyatakan bayaran awal adalah kira-kira £15 juta (RM79 juta).

James, lulusan akademi Swansea, menjaringkan lima gol dalam 38 penampilan sepanjang kempen 2018-19 penuh mengagumkan bersama kelab Liga Kejuaraan itu.

Solkjaer memberitahu laman web United: “Daniel seorang pemain sayap muda dengan kemahiran tinggi, visi, kepantasan luar biasa dan etika kerja yang bagus. Dia mengharungi musim hebat bersama Swansea City dan mempunyai segala ramuan untuk menjadi pemain Manchester United.


JAMES (kanan) bersaing dengan pemain Hungary, Adam Nagy pada aksi kelayakan Euro 2020 di Budapest, awal pagi tadi. — FOTO AFP

“Kami bangga dia menyertai kelab kami dan tidak sabar untuk bekerja dengannya. Ini satu tempat sempurna buat Daniel untuk meneruskan peningkatannya.”

Perpindahan itu hadir kurang sebulan selepas kematian bapa James.

James berkata: “Ini satu daripada hari terbaik dalam hidup saya dan cabaran yang saya nanti-nantikan selama ini. Liga Perdana liga terbaik di dunia dan Manchester United satu tempat sempurna buat saya untuk terus berkembang sebagai pemain.

“Ini jelas satu saat membanggakan buat saya dan keluarga. Bagaimanapun agak menyedihkan bapa saya tiada di sini untuk berkongsi pengalaman ini bersama kami. Saya tidak sabar bekerja dengan Ole, bertemu pasukan dan memulakannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 12:12 AM