JOVIC bergaya di depan kamera selepas diperkenalkan sebagai pemain Real Madrid, hari ini. — FOTO EPA
Reuters

PEMBELIAN penyerang Serbia, Luka Jovic menandakan permulaan “projek baharu” di Real Madrid ketika mereka mahu kembali mencatat kemenangan musim depan, menurut presiden kelab Florentino Perez, hari ini.

Jovic, yang hadir dari Eintracht Frankfurt, seorang daripada tiga pembelian utama Real setakat ini selepas kempen memalukan apabila mereka tidak menang sebarang trofi, memecat dua jurulatih dan berakhir 19 mata di belakang juara La Liga, Barcelona.

“Ini permulaan projek baharu bagi musim depan,” kata Perez kepada wartawan sebelum Jovic diperkenalkan kepada penyokong di Santiago Bernabeu sebagai pemain Madrid.

“Kami sedar kami perlu bekerja keras kerana keputusan tidak seperti yang kami harapkan.


JOVIC (kiri) bersama Perez ketika diperkenalkan di Santiago Bernabeu hari ini. — FOTO EPA

“Kelab ini tidak pernah berputus asa dan kami akan membuktikannya. Unik untuk memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun... tapi kami mempunyai tanggungjawab serta misi untuk kembali mencetak kemenangan.”

Madrid turut mendapatkan khidmat penyerang Belgium, Eden Hazard dari Chelsea dan pertahanan Brazil, Eder Militao dari FC Porto, manakala pertahanan kiri Perancis, Ferland Mendy turut dilaporkan akan berpindah ke ibu negara Sepanyol itu dari Olympique Lyonnais.

Jovic menandatangani kontrak enam tahun bersama Madrid selepas musim cemerlang bersama Eintracht, yang mana dia meledak 17 gol dalam 32 perlawanan Bundesliga musim lalu dan 10 gol lagi dalam 14 perlawanan Liga Europa apabila mereka layak ke separuh akhir.

“Saya orang paling gembira di dunia untuk menyertai kelab sebesar ini,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

“Saya amat teruja dan yakin membuat keputusan tepat. Saya akan memberikan segala-galanya untuk membantu Real Madrid menang lebih banyak trofi dan kejuaraan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:56 PM