GAMBAR HIASAN
BERNAMA

DRAMA dalam Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) belum berakhir dan kini dengan episod terbaru apabila wakil kumpulan 12 ahli gabungan, P Thiagu menggesa majlis eksekutif badan induk itu menyerahkan semua dokumen pentadbiran.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Karate Putrajaya berkata, undi tidak percaya pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Ipoh minggu lalu sah mengikut perlembagaan dan ahli majlis tertinggi yang diketuai presiden Tan Sri Ali Rustam kini kehilangan kuasa.

Katanya, status majlis eksekutif MAKAF terlucut serta-merta dengan kumpulan berhaluan kiri itu mendakwa mempunyai suara majoriti, ketika undi tidak percaya dibuat pada 9 Jun lalu.

Menurut Thiagu, kelangsungan atlet serta program membabitkan badan induk itu perlu diteruskan, justeru dokumen berkaitan MAKAF perlu diserahkan serta-merta kepada jawatankuasa sementara yang dipengerusikan Datuk Clement Soo, bekas Setiausaha Agung MAKAF.


NUR Azmi, Setiausaha Agung MAKAF. — FOTO Owee Ah Chun

“Daripada 22 kami ada 12 ahli gabungan yang menghadiri mesyuarat tergempar EGM. Jadilah majoriti di sebelah kami... ini memang EGM yang sah,” katanya dalam program Upsound terbitan Bernama News Channel (Astro 502).

“Kami sudah hantar surat kepada MAKAF semalam menyatakan dengan rela diri memberi segala dokumen yang ada... sama ada dia bagi atau tak, tak tau la. Kami juga sudah laksanakan tanggungjawab kami,” jelasnya.

Thiagu berkata, ahli gabungan itu mengadakan undi tidak percaya pada mesyuarat di Ipoh susulan pelbagai isu yang wujud dalam sukan itu sejak Februari tahun lalu.

Antara isunya dakwaan penyalahgunaan dana untuk kepentingan peribadi, kegagalan MAKAF membantu atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan membuat pelaburan terhadap satu syarikat tanpa mendapat kelulusan majlis tertinggi.

Thiagu juga berkata, keputusan drastik MAKAF untuk membuang keanggotaan lima ahli gabungan badan induk itu juga tidak sah memandangkan mereka kini sudah tidak mempunyai fungsi.

“Sebenarnya inilah taktik mereka, yang mana mereka nak mengurangkan majoriti kami daripada 12 kepada 7,” ujarnya.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad Isnin lalu berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang dan membuang keanggotaan lima persatuan di bawahnya, yang dilihat tidak menunjukkan minat untuk terus bersama badan induk itu.

Lima persatuan itu adalah Persatuan Karate Goshin Ryu, Persatuan Karate Putrajaya, Persatuan Karate Pahang, Persatuan Karate Perak dan Persatuan Karate Pulau Pinang, yang didakwa menunjukkan sikap tidak menghormati presiden dan barisan Exco.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:37 PM