McPHEE (depan) ketika berlumba pada Grand Prix Itali di Mugello baru-baru ini. — FOTO PETRONAS SRT
BERNAMA

PELUMBA Moto 3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee akan kembali beraksi hujung minggu ini di Litar Barcelona-Catalunya, selepas menjalani ujian di litar itu bulan lalu.

McPhee mahu mengekalkan catatan masa terbaik sesi ujian di Barcelona baru-baru ini, yang mana pelumba Britain itu berlumba lapan kali, dengan keputusan terbaik di kedudukan keempat tahun lalu.

“Tahun lalu, perlumbaan terbaik saya adalah di Litar Catalunya dan saya hampir berjaya memenangi perlumbaan. Harapan saya di Barcelona kali ini meneruskan cara sama, berada dalam kelompok hadapan dan bersaing hingga pusingan terakhir.

“Ini bukan satu perlumbaan dengan kelompok yang ramai di hadapan seperti di Mugello, jadi kami perlu rangka strategi terbaik.

“Kami harungi ujian yang baik selama beberapa hari baru-baru ini dan saya tidak sabar untuk berlumba kerana ini litar kegemaran saya. Kami perlu memperbaiki kedudukan dalam kedudukan keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

McPhee kini berada di tangga kelapan dengan 44 mata selepas enam perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 10:23 PM