SHAHREL (tengah) meraikan satu daripada golnya ketika menentang Timor Leste, malam tadi. — FOTO BERNAMA
BERNAMA

PENYERANG Shahrel Fikri Fauzi berhasrat untuk terus menyarung jersi Harimau Malaya dan berazam membuktikan kemampuannya sebagai penggempur berbisa.

Shahrel atau lebih dikenali sebagai Eki memainkan peranan penting apabila menjaringkan empat gol membantu Malaysia menang besar 12-2 secara agregat ke atas Timor Leste pada playoff Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas mencetak nama sebagai penjaring ketika Malaysia menang 7-1 pada aksi pertama, dia kemudian meledak hatrik pertamanya di pentas antarabangsa pada aksi kedua malam tadi apabila Malaysia sekali lagi menang besar 5-1.

Di sebalik prestasi cemerlangnya, penyerang Perak berusia 24 tahun itu enggan mendabik dada, sebaliknya ingin terus berusaha keras membaiki kelemahan.

“Walaupun gembira tapi saya tidak mahu berbangga sangat dengan pencapaian ini kerana kami hanya berdepan pasukan yang dikatakan tidak begitu besar. Bagi saya prestasi saya masih perlu ditingkatkan.

“Saya tidak boleh berasa selesa sangat dengan kedudukan sekarang kerana setiap pemain sentiasa berusaha menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Saya akan berusaha lebih keras pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 9:51 PM