Lukaku (kiri) menyerlah ketika menewaskan Scotland. FOTO REUTERS
Agensi

ROMELU Lukaku memberikan pandangan jelas apabila mengatakan masanya di Manchester United sudah sampai ke penghujung.

Malah, penyerang terbabit turut menjangkakan 'musim panas yang sibuk' sejurus kembali daripada percutiannya.

Lukaku kehilangan tempat dalam kesebelasan utama United musim lalu disebabkan prestasi tidak menentu dipamerkannnya.

Bos baru Inter Milan, Antonio Conte mahu menandatangani penyerang terbabit selepas bidaannya sebanyak £75j (RM397 juta) pada 2017 ketika menjadi bos Chelsea dipintas kelab Old Trafford itu.

Napoli turut dikatakan berminat mendapatkan pemain antarabangsa Belgium itu.

Dengan Marcus Rashford lebih digemari oleh Ole Gunnar Solskjaer selaku penyerang menyebabkan Lukaku membuat keputusan mengenai masa depannya mahu berhijrah ke tempat lain.

Lukaku atau digelar Big Rom berkata: “Saya mempunyai kontrak dengan Man United. Saya akan bercakap dengan kelab saya dan ejen, Federico Pastorello untuk membuat keputusan terbaik.

“Saya mahu menikmati percutian bersama keluarga saya sekarang. saya tahu apa saya akan buat tetapi tidak mahu mendedahkannya. Kita lihat nanti. Saya rasa musim panas akan menjadi sibuk, ya”.

Lukaku membuktikan musim kurang gembira dilalui di United berubah selepas meledak dua gol ketika Belgium menang 3-0 pada kelayakan Eropah mengatasi Scotland sekaligus mengingatkan ketajamannya di depan pintu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 6:10 PM