SANCHEZ (kiri) ketika beraksi menentang Mexico pada satu aksi persahabatan. — FOTO Getty Images
AFP

BAGI ikon Chile, Alexis Sanchez yang juga dikenali sebagai ‘Nino Maravilla’ - budak hebat - di negara kelahirannya, tempoh setahun setengah ini cukup mengecewakan.

Pemain dengan penampilan terbanyak sepanjang zaman dan peledak berbisa, Sanchez begitu popular di negara Amerika Selatan itu malah turut membintangi filem mengenai dirinya yang diterbitkan di Chile bulan lalu.

Selepas membantu Chile menjuarai dua edisi Copa America termasuk kejohanan meraikan 100 tahun atau Centenario di Amerika Syarikat pada 2016, patung dirinya turut dibina di bandar kelahirannya Tocopilla.

Namun ia juga tempoh 18 bulan yang mengecewakan buat pemain sayap Manchester United itu di tengah padang.


SANCHEZ berlatih menjelang Copa America di Otho Spa, Itu, Brazil, kelmarin. — FOTO EPA

Sanchez benar-benar berharap dapat membuktikan lebih bagus daripada apa yang dibayangkan kelabnya.

Sejak berpindah dari Arsenal pada Januari 2018, penyerang lincah dan pantas itu bagaikan tidak bermaya.

Dia menjaringkan 60 gol dalam 123 aksi liga bersama Gunners, hampir satu gol dalam dua perlawanan namun kadar itu menyusut kepada kurang satu gol daripada 10 perlawanan di United, hanya sembilan kali diturunkan dalam kesebelasan utama dan satu gol kempen lalu.

Dia juga tidak beraksi pada Piala Dunia Russia memandangkan Chile gagal melepasi pusingan kelayakan.

Pada usia 30 tahun, Sanchez masih berkemampuan tetapi apa yang berlaku di Old Trafford membayangkan dia sudah kehilangan sentuhan.

“Tidak syak lagi, Alexis penting untuk pasukan ini,” kata pemain tengah Pablo Hernandez yang menyifatkan penyerang Manchester United itu sebagai nadi pasukan itu pada Copa America kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:36 PM