Heidi tidak pertahan emas acara renang terbuka wanita di Sukan SEA Filipina. FOTO fail NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


KONTINJEN negara bukan kehilangan satu tapi dua pingat emas apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan bahawa perenang negara, Heidi Gan tidak akan beraksi mempertahankan emas dalam acara renang terbuka wanita pada temasya Sukan SEA Filipina November ini.

Ia satu tamparan buat negara apabila semalam Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan penganjur Sukan SEA Filipina memaklumkan acara renang terbuka lelaki tidak akan dipertandingkan sebaliknya mengantikannya dengan kategori wanita.

Dua tahun lalu, Kevin Yeap Soon Choy dan Heidi menyumbang pingat emas dalam acara renang terbuka 10 kilometer (km) kategori lelaki serta wanita di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Justeru tanpa kelibat Heidi yang mengumumkan persaraan, sukar buat skuad akuatik dalam acara renang terbuka mempertahankan emas yang diraih ketika KL2017 selepas pengguguran acara renang terbuka lelaki.

Penolong Setiausaha ASUM, May Tan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Heidi sudah menyatakan pendiriannya ketika tamatnya KL2017.

"Untuk mempertahankan pingat memang sukar kerana acara lelaki tidak dipertandingkan dan Heidi mengumumkan persaraannya.

"Namun ASUM sentiasa berusaha memastikan kami tidak ketandusan atlet dan untuk pengetahuan semua satu pertandingan renang terbuka kebangsaan dianjurkan April lalu adalah untuk mengenal pasti bakat dalam acara itu," katanya.

Melihat keputusan dicapai di kejohanan kebangsaan itu, May mengakui sukar buat kontinjen negara mempertahankan emas dalam acara renang terbuka.

"Sambutan diterima tidak mengecewakan tapi kebanyakkan mereka masih muda dan perlu banyak pendedahan.

"Jika dilihat akan kemampuan atlet muda ini mereka jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan atlet dari Thailand mahupun Singapura," katanya.

Heidi sebelum ini memaklumkan keputusannya itu kepada ASUM dan difahamkan ia disebabkan dia mahu menumpukan terhadap kerjayanya sebagai peguam di Australia selepas menamatkan pengajiannya tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:18 PM