ALEX Morgan meraikan gol kelapan AS bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

JUARA bertahan Amerika Syarikat memulakan kempen mempertahankan trofi mereka dengan kemenangan terbesar dalam sejarah Piala Dunia Wanita ketika Alex Morgan meledak lima gol untuk membelasah Thailand 13-0 awal pagi tadi.

Skuad AS yang menjuarai Piala Dunia buat kali ketiga di Kanada empat tahun lalu, menjaringkan 10 gol pada separuh masa kedua di Reims ketika memecahkan rekod kemenangan Jerman ke atas Argentina 11-0 pada 2007 serta pencapaian terbaik mereka 7-0.

Rose Lavelle dan Samantha Mewis masing-masing menjaringkan dua gol manakala Lindsey Horan, kapten Megan Rapinoe dan pemain gantian Mallory Pugh dan Carli Lloyd turut mencatat nama selaku penjaring dalam aksi berat sebelah Kumpulan F yang disaksikan lebih 18,000 penyokong di Stade Auguste-Delaune.


AKSI kapten pasukan AS, Megan Rapinoe. FOTO Reuters

Skuad Amerika tidak memberi peluang kepada lawan di ranking ke-34 dunia dan membalas kritikan supaya mereka memperlahankan rentak perlawanan bagi mengelak Thailand malu besar, daripada menjaringkan enam gol dalam tempoh 16 minit terakhir.

“Ini adalah kejuaraan dunia jadi setiap pasukan yang berada di sini cukup luar biasa untk berada di tahap ini. Untuk menghormati lawan kami perlu bermain bersungguh-sungguh menentang mereka,” kata jurulatih AS Jill Ellis.

Alex yang ini mengumpul 106 gol buat negaranya menyamai rekod yang dicatat rakan senegaranya Michelle Akers dengan menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Piala Dunia.

“Menerusi jaringan malam ini, kami perlu melihat kepada peringkat kumpulan kerana setiap gol diambil kira dan adalah penting untuk kami teruskan permainan,” kata penyerang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 9:36 AM