Norza terima surat pengguguran daripada POC. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PERUBAHAN acara oleh Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) merencatkan persediaan kontinjen negara menjelang temasya Sukan SEA Filipina hujung tahun sekali gus menyaksikan Malaysia sekurang-kurangnya akan kehilangan satu pingat emas apabila acara renang terbuka lelaki tidak akan dipertandingkan.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria semalam memaklumkan menerima surat daripada POC berhubung pengguguran dan penambahan empat acara itu antaranya acara renang terbuka wanita digantikan dengan acara renang terbuka lelaki.

Berikutan maklumat yang baru diterima itu, Norza berkata, beliau akan berbincang bersama persatuan sukan kebangsaan (NSA) masing-masing berhubung perkara berkenaan dan akan memaklumkan perkara berkenaan selepas perbincangan selesai.

"Perbincangan akan dilakukan dengan persatuan sukan untuk mendapatkan maklum balas kerana kita tahu akan berlakunya protes dari ahli gabungan yang lain.

“Ini kerana perubahan saat akhir ini akan menjejaskan persiapan atlet yang sudah melakukan persediaan,” kata Norza pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif OCM, hari ini.

Turut menghadapi masalah sama adalah e-sukan NBK 2k19 akan digantikan dengan Hearthstone, polo Divisyen B 4-6 goals akan digantikan dengan Divisyen B 4-7 goals manakala acara kanu perseorangan 1000 meter menggantikan kayak perseorangan 1000m lelaki.

Untuk rekod pada temasya Sukan SEA 2017 dua perenang negara, Kevin Yeap Soon Choy dan Heidi Gan menyumbang pingat emas dalam acara renang terbuka 10 kilometer (km) kategori lelaki serta wanita.

Sukan SEA Filipina 2019 dijadualkan berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 3:00 PM