ATLET memanah recurve paralimpik negara, S Suresh. FOTO Agensi
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

ATLET memanah recurve paralimpik negara, S Suresh, mendapat pujian Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas meraih emas acara recurve individu di Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, Hertogenbosch, Belanda, semalam.

Menerusi hantaran terbaru di Twitter rasminya, Timbalan Perdana Menteri menyatakan kejayaan atlet paralimpik itu menjadi juara dunia pertama Malaysia dalam sukan memanah amat membanggakan negara.

“Tahniah dan syabas atlet paralimpik negara, Suresh mengukir kejayaan menjadi juara dunia pertama Malaysia dalam sukan memanah. Kejayaan yang cukup membanggakan untuk negara Malaysia,” katanya.

Untuk rekod atlet terakhir Malaysia memenangi pingat dalam kejohanan dunia itu ialah Allahyarham Salam Sidek yang meraih pingat gangsa dalam edisi 2011.

Suresh ketika ini menduduki ranking 35 dunia dengan 81.8 peratus kemenangan, membuktikan semangat ‘Malaysia Boleh’ apabila menumpaskan atlet Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27).

Tewas di set pertama, dia bangkit untuk melakar keputusan seri pada set berikutnya sebelum menguasai baki tiga set untuk mencapai kemenangan.

Kejayaan itu turut dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memuatkan naik gambar pemanah recurve berusia 25 tahun ini di Twitternya.

“Tahniah saudara Suresh! World Champion!,” katanya.

Terdahulu pada aksi final itu, Suresh menewaskan Bato Tsydendorzhiev dari Rusia, 7-3 di peringkat separuh akhir sekali gus mengesahkan tempatnya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Untuk rekod Suresh memenangi pingat perak acara recurve lelaki di Kejohanan Memanah Ranking Dunia Fazza di Dubai, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 11:58 AM