Hafizh melayan tetamu yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di D'Kayangan, Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat kembali mengutip mata di Grand Prix Catalunya pada 16 Jun ini.

Jelas pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu, Catalunya umpama rumah keduanya yang menyaksikannya membina karier di sana.

Justeru Hafizh berharap dengan pengalamannya memahami selok belok Litar Catalunya, ia akan dapat memberi kelebihan kepadanya dalam usaha untuk mengutip mata.

"Banyak masa saya di luar adalah di Catalunya. Di situlah saya memulakan karier dan menjalani latihan.

"Saya juga menggemari litar di sana. Harap ia akan dapat memberi kelebihan kepada saya," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya hari ini.

Hafizh bagaimanapun mahu semua pihak lebih optimis dengan peluangnya pada setiap pusingan termasuk di Catalunya.

"Seperti yang semua ketahui tahun ini agak mencabar untuk saya bersama jentera KTM.

"Saya tak boleh meletakkan jaminan mampu menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik tetapi saya akan cuba sedaya upaya," katanya.

Selepas enam pusingan, Hafizh kini mengutip dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 10:17 PM