BIBI RAMJANI IIIAS KHAN
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PEMAIN Kelantan hanya mengharapkan belas ihsan pihak tertentu dan bantuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji selepas tercetusnya pergolakan dalaman membabitkan jawatan Presiden Bolasepak Kelantan (KAFA).

Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, bayaran wang ihsan kepada pemain Kelantan baru-baru ini adalah sumber daripada FAM membabitkan bayaran tertentu.

Beliau berkata, walaupun jumlahnya tidak dinyatakan, namun Bibi Ramjani mengakui kantung Kelantan sudah kering, sekali gus berhadapan masalah untuk membayar gaji.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pemain dan ada antara mereka dinasihatkan untuk menerima tawaran daripada pasukan lain pada jendela perpindahan kedua sebelum ini.

“Seperti saya maklum sebelum ini bahawa tidak akan lagi mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membayar gaji pemain kerana ada pihak yang kononnya sudi tampil untuk mengambil alih tampuk pemerintahan KAFA.

“Namun, sehingga kini individu yang dimaksudkan itu tidak juga tampil dan keadaan itu jika berlanjutan mungkin pemain yang menjadi mangsa.

“Saya tidak akan membiarkan pemain tidak dibayar gaji apabila mengambil inisiatif mendapatkan dana daripada pihak tertentu untuk melangsaikannya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan sambutan Aidilfitri pemain Kelantan dan pasukan liga M3 Batu 2 FC suram apabila mereka tidak menerima pembayaran gaji seperti dijanjikan pihak pengurusan.

Perkara itu begitu perit untuk diterima pemain apabila kebanyakannya terpaksa menyambut Aidilfitri secara ala kadar berikutan pengurusan hanya menabur janji manis kepada mereka untuk menyelesaikan tunggakan dua bulan gaji sebelum 1 Syawal, namun gagal berbuat demikian.

Mengikut maklumat pemain The Red Warriors (TRW) hanya menerima pembayaran insentif baru-baru ini sebagai duit belanja untuk membeli barangan dan kelengkapan sempena Aidilfitri.

Malah, skuad piala presiden mereka pula terpaksa ‘gigit jari’ apabila pembayaran elaun belum diterima, malah keluhan pemain terbabit juga tidak didengari. Pemain Kelantan yang enggan nama didedahkan memberitahu, pergolakan pengurusan menyebabkan mereka menjadi mangsa sehingga pasukan boleh dikatakan berada dalam keadaan tidak menentu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 6:00 AM