Suresh (kanan) atlet memanah para pertama layak ke Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Ihsan Instazu.com
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my


ATLET memanah para negara, S Suresh membuktikan semangat Malaysia Boleh apabila menjadi atlet memanah para pertama layak ke Sukan Paralimpik Tokyo.

Jika sebelum ini tumpuan terarah ke acara olahraga, kejayaan Suresh sekurang-kurangnya memberi ruang dan peluang buat negara menambah kutipan pingat di Sukan Paralimpik tahun depan.

Atlet berusia 25 tahun itu menempah slot ke Sukan Paralimpik Tokyo selepas melangkah ke pentas akhir acara recurve individu di Kejohanan Memanah Para Dunia 2019, Hertogenbosch, Belanda.

Bagaimanapun, misi Suresh yang kini menduduki ranking ke-35 dunia belum berakhir apabila akan turun beraksi dalam acara penentuan pingat yang akan berlangsung Ahad ini.

Terdahulu Suresh berjaya meraih pingat perak di Kejohanan Para Dunia Fazza kali ke-5 bulan lalu.

Dia yang menjadi taruhan terbaik negara dalam acara memanah ketika ini tewas kepada Ueyama Tomohiro 2-6 dalam aksi akhir di kejohanan yang berlangsung di Dubai dari 10 hingga 16 April itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 9:48 PM