Jackie Wong bersama medal dimenangi di Korea.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@mediaprima.com.my


ATLET baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila melakarkan rekod baru kebangsaan buat kali ke-14 sejak mengambil bahagian dalam saingan kompetitif pada 2013.

Dia berjaya memadamkan rekod lama miliknya sendiri di Kejohanan Terbuka Korea di Gwangju semalam dengan catatan 67.31 meter (m) sekali gus membawa pulang pingat perak.

Emas dalam acara itu diraih atlet tuan rumah, Lee Ywun Chul dengan balingan 69.24m manakala gangsa milik atlet Thailand, Boonmawan Kittipong 64.70m.

Dalam tempoh tidak sampai dua bulan Jackie, 26, berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali yang mana kali pertama dilakukan ketika Kejohanan Asia di Doha April lalu, 67.01m.

Untuk rekod ia adalah podium ketiga buat Jackie yang kini menghuni ranking ke-97 dunia tahun ini selepas meraih perak di Grand Prix Malaysia dan gangsa di Terbuka Taiwan bulan lalu.

Kejayaan itu disifatkan cukup manis buat Jackie yang kini dalam misi mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini apabila berjaya mengatasi pencabar utamanya dari Thailand, Kittipong.

"Sukan SEA memang menjadi keutamaan saya tahun ini. Tapi saya pun tak pasti apa yang akan berlaku pada masa akan datang, apa yang boleh saya buat adalah berusaha ke arah sasaran mengekalkan emas," katanya.

Dua tahun lalu Jackie menamatkan kemarau 16 tahun apabila berjaya menewaskan seteru utamanya Kittipong untuk meriah emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan pastinya dia mahu memastikan emas terus berada dalam genggamannya buat kali kedua tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 6:10 PM