Mohd Faisal diasak pemain Terengganu, Lee Andrew Tuck (kiri) pada saingan Liga Malaysia baru-baru ini. FOTO NSTP.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PAHANG kembali menjalani latihan esok, selepas bercuti lima hari sempena Aidilfitri bagi memberi fokus kepada baki saingan Liga Super dan aksi separuh akhir Piala FA.

Juara bertahan Piala FA kendalian Dollah Salleh perlu tampil dengan aksi lebih bertenaga dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Pemain pertahanan skuad Tok Gajah, Mohd Faisal Rosli, 28, berkata, semua pemain ingin memastikan prestasi terbaik ditonjolkan selepas ‘rehat’ Aidilfitri.

"Biarpun kami sedar Perak juga mahu memburu slot final piala berprestij itu, kejayaan mara pada tahap ini (separuh akhir) perlu diteruskan sehingga ke pentas final dan mengekalkan kejuaraan musim lalu.

"Saya percaya dengan kesungguhan semua pemain, terutama percaturan jurulatih (Dollah) dapat membantu melengkapkan misi itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faisal atau lebih dikenali dengan gelaran Tocang berkata, baki saingan Liga Super juga diberi keutamaan untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik dalam saingan musim ini.

Katanya, biarpun berada di tangga kedua liga, fokus utama skuad itu ialah untuk menamatkan baki lapan perlawanan dengan kemenangan. 

"Kami akan berusaha melakukan yang terbaik dan kehadiran 'ahli' baru' (Lazarus Kaimbi) mampu memperkuatkan jentera serangan.

"Saya percaya gandingan Kaimbi dan Dickson Nwakaeme dapat memberi ancaman kepada pasukan lawan apabila liga bersambung nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 1:28 PM