RONALDO giat berlatih menjelang separuh akhir Liga Negara Eropah di Oeiras, Portugal, awal minggu ini. — FOTO EPA
AFP

CRISTIANO Ronaldo kembali untuk mengemudi Portugal dalam usaha memenangi Liga Negara Eropah di laman sendiri minggu ini, namun sudah berlalu hari-hari apabila dia muncul satu-satunya pemain paling digeruni dalam pasukan juara Eropah itu.

Selepas memenangi anugerah Ballon d’Or lima kali dan Liga Juara-Juara selain meraih kejuaraan liga buat kelabnya di England, Sepanyol dan Itali, tidak banyak yang boleh dibuktikan oleh Ronaldo lagi.

Namun selepas tangisannya ketika remaja apabila kalah final Euro 2004 di laman sendiri, Ronaldo boleh menebus kekalahan itu dengan menjulang trofi antarabangsa kedua dalam kariernya di depan penyokong sendiri.

Portugal bagaimanapun layak ke separuh akhir kejohanan Liga Negara Eropah yang julung kali diadakan tanpa khidmat penjaring gol terbanyak sepanjang zaman mereka.


FELIX sudah dilabel sebagai ‘Cristiano Ronaldo baharu’. — FOTO EPA

Ronaldo berehat daripada bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia dan hanya kembali bagi dua aksi pertama Portugal pada kelayakan Euro 2020 Mac lalu.

Kepulangannya tidak begitu mengujakan memandangkan anak buah Fernando Santos seri di laman sendiri dengan Ukraine dan Serbia, dengan bintang serangan Juventus itu terhincut-hincut cedera hanya selepas 30 minit aksi kedua.

Ketika ketiadaannya, Bernardo Silva menjadi tonggak utama dengan pemain tengah Manchester City itu, yang dipuji bos kelab Pep Guardiola sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini, turut menjadi perancang utama gerakan pasukan negaranya.

City mungkin akan memiliki seorang lagi bintang Portugal dalam skuad mereka dengan kelab juara Inggeris itu antara beberapa kelab yang memburu Joao Felix.


BERNARDO Silva memainkan peranan penting ketika ketiadaan Ronaldo. — FOTO EPA

Pemain berusia 19 tahun itu dijangka melakukan penampilan sulung antarabangsa pada separuh akhir menentang Switzerland awal pagi Khamis ini selepas cemerlang semusim bersama Benfica.

Felix menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan, termasuk hatrik pada suku akhir Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt, dengan Benfica bimbang klausa tebus kontraknya bernilai 120 juta euro (RM564 juta) mungkin diaktifkan pada musim panas ini.

Ia akan menjadikannya pemain paling mahal Portugal mengatasi Ronaldo namun Felix mengakui dia bagaikan mengalami kejutan budaya berlatih kali pertama di samping pemain terbaik dunia lima kali itu.

“Ia agak pelik, saya tidak pernah melihatnya secara terlalu dekat,” kata Felix kepada laman web Benfica.

“Saya katakan kepada rakan dan kawan baik saya apabila pulang ke rumah nanti ia kelihatan seperti mod karier dalam PlayStation.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 11:57 AM