DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Haji Mohd Amin hadir buat pertama kali ke Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pertama bagi penggal 2019-2023 yang diadakan sempena Kongres FIFA ke-69 di Paris, Perancis, semalam.

Beliau yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa eksekutif AFC pada 6 April lalu hadir untuk membincangkan beberapa agenda khususnya membabitkan pembangunan bola sepak di Asia.

“Antara agenda yang dibincangkan ialah pembangunan bola sepak, hala tuju dan tanggungjawab Exco baharu AFC dalam memacu bola sepak Asia dan persiapan menjelang Piala Asia 2023.

“Mesyuarat ini dilihat mampu mengukuhkan lagi ikatan hubungan keluarga bola sepak Asia dan dunia apatah lagi ia turut diadakan sempena Kongres FIFA di Paris,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan FAM.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John bersama ahli exco AFC dan ahli majlis FIFA.

Malah, turut berlangsung Kongres Luarbiasa AFC yang diadakan hari ini sebelum Kongress FIFA ke-69 turut diadakan esok disusuli pembukaan Piala Dunia Bolasepak Wanita pula pada Khamis ini.

Sebelum ini, Hamidin, 53, adalah antara tiga anggota dari Zon ASEAN yang dipilih sebagai ahli jawatankuasa eksekutif AFC selain Chris Nikou dari Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dan Dr Tran Quoc Tuan dari Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) untuk mengisi tiga slot untuk zon berkenaan.

Ketiga-tiga tokoh berkenaan menang tanpa bertanding selepas calon dari Singapura, Winston Lee, menarik diri pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:04 PM