NURFATEHAH yakin gandingannya bersama Syazhera dan Iman Aisyah mampu merealisasikan impian untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia di Belanda. FOTO Fathil Asri
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PEMANAH berpengalaman negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh yakin kemampuan gandingannya mampu merealisasikan harapan untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia di Belanda, bulan depan.

Pemanah compound berusia 28 tahun berkenaan tampil buat kali ketiga di Kejohanan Dunia bakal diiringi dua muka baru, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Iman Aisyah Norazam untuk beraksi di pentas tertinggi itu.

“Tiada apa yang perlu kami bimbangkan jika merasakan persediaan sudah mencukupi. Kami turut ke padang dan hanya melakukan perkara yang perlu...semuanya akan berjalan lancar.

“Ia memang satu tahap persaingan yang berbeza dengan jumlah penyertaan peserta yang ramai. Namun saya percaya dengan kemampuan rakan sepasukan,” jelas pemanah kelahiran Sabah itu.

Seramai 610 pemanah dari 92 negara sudah mengesahkan penyertaan, jumlah terbesar dalam sejarah 88 tahun kejohanan dengan 372 akan bersaing dalam acara recurve manakala 238 bagi compound.

Bagi pemanah compound negara, ia dilihat pendedahan terbaik kepada mereka menjelang Sukan SEA 2019 manakala atlet recurve negara memburu tiket ke Olimpik Tokyo pada kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 5:48 PM