Dollah bersama skuadnya akan bercuti Aidilfitri selama lima hari. FOTO NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


SKUAD Pahang hanya bercuti selama lima hari bermula semalam sempena menyambut perayaan Aidilfitri.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, skuad itu akan kembali menjalani latihan pada 3 Syawal sebagai persediaan menghadapi baki saingan Liga Super.

"Selain itu, kita juga fokus pada aksi separuh akhir Piala FA bertemu Perak pada 23 dan 29 Jun ini.

"Oleh itu, hanya lima hari cuti diberikan kepada skuad Pahang untuk menyambut Aidilfitri sebelum kembali menjalani latihan pada 3 Syawal," katanya.

Namun, sebaik Pahang kembali menyambung latihan, skuad itu terpaksa tampil tanpa lima tonggak iaitu kapten pasukan, Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamad Sumareh, Nor Azam Azih dan Mohd Faisal Halim.

Lima pemain berkenaan kini bersama skuad Harimau Malaya menghadapi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste, pada 7 dan 11 Jun ini.

Difahamkan, dua import Pahang iaitu Safuwan Baharudin dan Saddil Ramdani juga turut tidak bersama kerana mewakili skuad Singapura dan Indonesia.

Namun, kehadiran pemain import baharu, Lazarus Kaimbi dari Namibia bakal memperkuatkan jentera serangan skuad Tok Gajah.

Kaimbi dijangka bergandingan dengan penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme yang diyakini mampu mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 2:14 PM