BIBI Ramjani. FOTO/NSTP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut berkaitan tuntutan gaji tertunggak tiga bekas pemain.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, tuntutan Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak dan Norhafiz Zamani Misbah dengan keseluruhan bernilai hampir RM190,000 itu adalah membabitkan tunggakan 2014 hingga 2016.

Beliau berkata, KAFA juga akan menyediakan surat bagi meminta penyelarasan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tuntutan terbabit.

“KAFA masih lagi membayar tunggakan bayaran cukai sejak 2014 yang sebelum ini bernilai RM400,000 dan kini hanya berbaki lebih RM100,000.

“Tunggakan itu membabitkan pemain yang menuntut pembayaran cukai sebelum ini dan KAFA berusaha menyelesaikannya walaupun masalah itu berbangkit sejak pengurusan lama.

“Kita mahu penyelarasan itu bagi melihat rekod pembayaran cukai pendapatan pemain terbabit selain memudahkan KAFA menyelesaikan tuntutan mereka,” katannya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan badan induk bola sepak negeri itu diuji dengan tuntutan gaji oleh empat bekas pemain bernilai lebih RM300,000.

Tuntutan empat pemain termasuk penjaga gol Melaka Khairul Fahmi Che Mat jelas memberi tamparan kepada pengurusan KAFA yang kini dibelenggu masalah kewangan.

Khairul Fahmi menerusi peguamnya menghantar surat kepada KAFA baru-baru ini bagi menuntut bayaran tunggakan gaji 2015 dan 2016 mencecah RM143,000.

Sementara itu, mengenai kes membabitkan Khairul Fahmi atau Apek, KAFA akan memberi maklum balas selepas mendapat keputusan penyelarasan daripada LHDN.

“Jika diikutkan Apek membuat tuntutan tidak menggunakan saluran betul seperti tiga pemain yang lain atau termaktub dalam kontrak menyebabkan KAFA perlu melakukan penelitian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:10 AM