KEADAAN kereta Reyes selepas kemalangan.
Agensi

Legenda Arsenal, Thierry Henry mengetuai senarai pemain Gunners yang tampil mengucapkan takziah atas kematian Jose Antonio Reyes, 35, yang terbabit kemalangan di laluan yang menghubungi Utrera dengan Seville, kelmarin.

Henry yang beraksi bersama Reyes antara 2004 hingga 2007, melabel pemain itu sebagai berbakat, rakan sepasukan yang baik dan memiliki peribadi mulia.

“Saya harap keluarga dan rakan-rakannya kekal tabah dalam menghadapi kesukaran ini,” kata Henry menerusi akaun Twitter miliknya.

Bekas pemain tengah Arsenal, Cesc Fabregas pula menganggap Reyes sebagai ‘rakan karib pertamanya dalam arena bola sepak profesional’ dan menambah: “Dia adalah rakan sebilik saya yang sering sukakan sesuatu yang sejuk. Dia boleh tidur walaupun dengan penyaman udara diletakkan pada tahap -10 Celsius.

“Seorang yang rendah diri dan sentiasa tersenyum. Pemain yang hebat dan memiliki peribadi sangat baik. Saya harap berita kematiannya hanyalah mimpi.


FABREGAS (kiri) bersama Reyes ketika bergandingan di Arsenal pada 2006.

“Saya tidak akan lupa di mana anda dan keluarga anda menyambut kedatangan saya di kediaman anda pada Krismas pertama anda di England. Ketika itu saya baru berusia 16 tahun. Saya juga tidak akan melupakan perlawanan tenis yang kita mainkan sebelum dan selepas sesi di gimnasium.

“Hubungan kita di atas padang juga istimewa.

“Saya sering katakan anda antara pemain paling berbakat dan saya tahu bahawa saya tidak pernah salah mengenainya.

“Dua hari lalu, saya bercakap mengenai anda di dalam satu temubual. Ia mungkin petanda... siapa tahu. Petanda untuk saya terus mengingati anda, sahabatku.

“Saya tidak akan melupakan anda... kami tidak akan melupakan anda. Sentiasa di hati kami. Bersemadilah dengan tenang Jose Antonio Reyes. Saya sayangkan anda. Cesc.”

Reyes menyertai Gunners dari Sevilla pada Januari 2004 dan menjadi salah seorang pemain skuad yang mencatat rekod tanpa kalah pada musim 2003-04 sekali gus memenangi Liga Perdana.

Bendera di seluruh bandar Utrera yang menjadi tempat lahir Reyes akan berkibar separuh tiang selama dua hari sebagai tanda berkabung.

Keranda yang berisi mayat Reyes akan dibawa ke stadium milik Sevilla sebelum dibawa pulang ke Utrera untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:00 AM
Skip this ad x