Hasan (kiri) bersama Pengarah Teknikal Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Lee Jae-Hyung. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PERSATUAN Memanah Kebangsan Malaysia (NAAM) diletakkan sasaran untuk mengulangi pencapaian Sukan SEA 2017 dengan meraih lima daripada 10 emas yang dipertandingkan.

Menurut Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan, ia ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) pada mesyuarat jawatankuasa kerja bersama yang berlangsung bulan lalu.

"Kami sebenarnya hanya meletakkan sasaran empat emas namun MSN mahukan lima.

Saya fikir dengan prestasi semasa barisan pemanah wanita negara,ia bakal membantu kami memenuhi sasaran itu.

"Malah pemanah negara sama ada recurve dan compound dihantar banyak kejohanan sejak awal tahun selain beberapa kejohanan lagi selepas ini.

Ia dilihat persediaan yang baik bagi mereka menghadapi Sukan SEA pada Disember nanti," jelasnya.

Beliau turut melihat Kejohanan Dunia di Belanda pada minggu depan boleh dianggap sebagai kayu pengukur kepada atlet negara selain menilai pencabar Asia Tenggara yang lain.

Dua tahun lalu, skuad negara meraih separuh daripada emas yang dipertandingkan apabila memenangi dua emas menerusi berpasukan recurve lelaki dan wanita.

Tiga lagi sumbangkan compound menerusi berpasukan lelaki, wanita dan campuran.

Malaysia berada di kedudukan pertama bagi memanah dengan Indonesia mengekori rapat meraih empat emas selain Vietnam mencuri satu emas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 5:30 PM