STUART RAMALINGAM

Kuala Lumpur: Pemain Terengganu City FC (TCFC) tidak boleh menuntut pembayaran gaji mereka daripada pihak lain, kata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kenyataan itu sekali gus menyaksikan harapan mereka untuk menikmati gaji yang tertunggak sejak musim lalu itu semakin menipis.

Walaupun Jawatankuasa Status FAM mengumumkan pengurusan TCFC perlu membayar tunggakan gaji kepada 21 bekas pemainnya baru-baru ini, timbul persoalan mengenai siapa yang perlu memikul bertanggungjawab membayar tunggakan berkenaan sedangkan kelab itu sendiri sudah berkubur.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan mesyuarat jawatankuasa status baru-baru ini adalah prosedur standard yang perlu dipatuhi pemain dan ia boleh digunakan untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pihak berkenaan.

Beliau berkata, pemain terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang kepada pihak berkaitan apabila tempoh pembayaran tunggakan tamat seperti yang ditetapkan.

“Kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengarahkan pihak lain untuk membayar tunggakan gaji terbabit walaupun selepas kelab yang mereka wakili sebelum ini sudah lesap.

“Pengumuman keputusan itu adalah prosedur awal untuk pemain mengambil langkah seterusnya iaitu membolehkan mereka mendakwa pihak berkaitan yang bertanggungjawab menyebabkan gaji tertunggak.

“Pemain perlu mengambil langkah seterusnya dan tidak meletakkan segala-galanya kepada FAM selain berani menyalurkan maklumat supaya individu bertanggungjawab itu dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan 21 pemain TCFC menerima perkhabaran gembira apabila Jawatankuasa Status FAM menuntut kelab itu melunaskan tunggakan gaji keseluruhan berjumlah RM411,900.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Joehari Ayub berkata, TCFC yang juga juara Piala FAM musim lalu diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan segala tuntutan itu bermula dari tarikh penerimaan keputusan, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:10 AM