KETIADAAN Kompany (kiri) bakal dirasai City.
Agensi

SELEPAS tamat aksi terakhir musim ini, kapten Manchester City, Vincent Kompany mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan skuad juara berkenaan untuk menyertai RSC Anderlecht menerusi perjanjian yang menyaksikan dia akan bertindak selaku pemain serta pengurus.

Ketiadaan Kompany pantas membuka ruang untuk perbincangan dan bekas pengendali West Ham serta Tottenham, Harry Redknapp berkata, kekosongan itu hanya mampu diisi pertahanan Leicester City, Harry Maguire.

Kompany sudah bersama City sejak 11 musim lalu dan ketiadaannya pasti dirasakan jurulatih, Pep Guardiola apatah lagi pemain itu adalah antara tonggak utama pasukannya yang menjadi nadi kejayaan memenangi pelbagai gelaran sejak kebelakangan ini.

Jika mahu menggantikan Kompany dengan seorang lagi pertahanan veteran City, Nicolás Otamendi, ia tidak mungkin berlaku kerana pemain itu sendiri jarang diturunkan musim lalu dan justeru, kelab tidak mempunyai pilihan selain membawa masuk pemain baharu.


VINCENT KOMPANY

Maguire yang sudah mewakili England sebanyak 18 kali, menyerlah sejak dua musim lalu di Leicester dan Redknapp berkata, itu adalah peluang pemain berusia 26 tahun itu untuk menyertai rakannya di dalam skuad kebangsaan, John Stones di Etihad.

“Ia sangat sukar untuk melihat posisi yang perlu dikukuhkan City,” kata Redknapp kepada MEN Sport.

“Mereka mungkin mencari pemain pertahanan tengah bagi menggantikan Kompany yang sudah mengumumkan perpindahannya.

“Persoalannya, di mana anda boleh mencari pemain yang sesuai? Bolehkan City membeli pemain muda Ajax (De Ligt)?

“Saya tidak percaya pemain Ajax itu mahu ke Etihad kerana dia mungkin ke Barcelona.

“Mereka (City) akan meneruskan pencarian. Harry Maguire mungkin boleh difikirkan. Saya sukakan corak permainannya. Bagi saya, dia seorang pemain yang bagus. Jika mereka mahu mencari pemain pertahanan tengah, dia adalah pilihan terbaik.

“(John) Stones seorang pemain hebat. Saya teringin melihat Stones kembali ke dalam skuad kebangsaan. Bagi saya, dia sangat berbakat.

“Dia mampu membentuk gandingan mantap bersama Maguire. Mereka bermain baik bersama skuad England sambil dibantu Kyle Walker. Bukan mustahil untuk mereka digandingkan di dalam kelab sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:06 AM