JOSE ANTONIO REYES
AFP

BEKAS bintang Arsenal, Real Madrid dan Sepanyol Jose Antonio Reyes maut dalam nahas jalan raya, menurut bekas kelabnya Sevilla hari ini. Dia berusia 35 tahun.

Reyes yang melakar populariti di Sevilla sebelum berpindah ke Arsenal, diikuti kontrak di Real dan Atletico Madrid, kali terakhir beraksi dengan kelab divisyen kedua Sepanyol Extremadura.

“Kami terpaksa mengumumkan berita buruk ini. Bekas pemain remaja kami Antonio Reyes maut dalam nahas jalan raya. Bersemadilah dengan tenang,” menurut satu kenyataan di laman Twitter rasmi Sevilla.

Jabatan kecemasan di Andalusia dan pihak berkuasa di kampung halaman pemain itu, Utera, berkata Reyes terbunuh dalam kemalangan kereta di jalan utama dari Sevilla ke Uretra. Mereka berkata seorang lagi ahli keluarganya turut maut manakala yang ketiga mengalami kecederaan.

Kapten Sepanyol Sergio Ramos, yang juga berasal dari Seville,menyertai skuad remaja selepas Reyes dan kemudiannya beraksi bersamanya di Real Madrid turut meluahkan kedukaannya di Twitter.

“Remuk redam,” kata Ramos. “Saya hilang kata-kata. Seluruh simpati buat keluarganya. Kami akan sentiasa mengingatimu, kawanku! RIP saudara.”

Reyes menjuarai gelaran B-21 Eropah bersama Sepanyol pada 2002 dan beraksi 21 kali bersama Sepanyol di antara 2003 dan 2006, menjaringkan empat gol.

Dia menjulang gelaran Liga Perdana dan Piala FA di Arsenal dan menjadi pemain gantian apabila Gunners tewas final Liga Juara-Juara 2006 di tangan Barcelona.

“Dengan hati yang kecewa, kami mengumumkan berita kematian pemain kami Jose Antonio Reyes dalam kemalangan kereta dan kami meminta anda mendoakannya,” kata Extremadura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 8:51 PM