Skuad negara bersama pasukan Itali. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PERKEMBANGAN positif dipamer skuad hoki wanita negara apabila menutup saingan tiga penjuru di Rome dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan ranking ke-17 dunia, Itali.

Keputusan semalam pastinya memberi suntikan semangat kepada anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang akan beraksi di Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland bermula 8 Jun ini.

Ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mempunyai sebab untuk memuji barisan pemainnya berikutan kemenangan itu.

"Sudah pastinya saya gembira dengan kemenangan ke atas Itali pada perlawanan terakhir ini.

Setiap pemain bermain dengan cukup baik dan tiada sebarang kecederaan.

"Pemain memberikan satu persembahan yang menarik sama ada dari segi bertahan ataupun melakukan serangan balas yang pantas dan ia banyak membantu meraih kemenangan hari ini.

"Itali bukan satu pasukan yang mudah apabila mereka berjaya menewaskan Sepanyol 4-3 sebelum bertemu dengan kami," katanya.

Selepas ini skuad negara yang menduduki ranking ke-22 dunia, akan bertolak ke Scotland untuk mengharungi dua perlawanan persahabatan dengan pasukan pilihan Uddingston sebelum ke Ireland melalui satu lagi perlawanan persahabatan bersama skuad B-23.

Pada perlawanan semalam, skuad negara di depan menerusi jaringan Norazlin Sumantri m-5 sebelum Hanis Nadiah Onn menambah gol kedua m-11.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 3:09 PM