Chantha Bin masih berbisa. FOTO NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


ARKITEK Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin mahu membuktikan kelibatnya masih berbisa walaupun sebelum ini berada dalam senarai pemain import yang bakal digugurkan daripada skuad Penyu itu.

Selain itu, pemain kebangsaan Kemboja itu yang selamat daripada digugurkan itu mahu mengikis persepsi barisan jurulatih terhadap prestasinya yang dikatakan merudum dengan menampilkan aksi lebih bertenaga selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Saya amat berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana masih mengekalkan dalam skuad biarpun sebelum ini hampir diketepikan kerana dikatakan prestasi tidak konsisten.

"Justeru, saya mahu perbaiki tahap permainan selain mahu membuktikan persepsi mereka terhadap prestasi saya adalah salah," katanya menyarung jersi skuad itu sejak awal musim lalu.

Sebelum ini, pemain yang pernah beraksi bersama pasukan remaja Perancis itu hampir pasti disingkirkan pada jendela kedua perpindahan pemain yang berakhir pada Khamis lalu.

Bagaimanapun PBSNT membuat pusingan-U apabila mengekalkan pemain yang memulakan kariernya bersama kelab RC Strasbourg dalam Liga Perancis itu selepas usaha persatuan mendapatkan khidmat pemain tengah lincah Thailand, Sansern Limwatthana dan bekas import PKNS, Chan Vathanaka menemui kegagalan.

Nasib berbeza dilalui rakan sepasukannya dari Montenegro, Igor Zonjic apabila pemain pertahanan itu disingkirkan pada saat akhir dan digantikan dengan pemain kelahiran Brazil, Luis Gustavo Camilo yang dijangka tiba awal bulan ini.

Mengulas lanjut, Chantha Bin berharap kontraknya yang bakal berakhir musim ini dapat disambung semula pihak pengurusan kerana hatinya sudah jatuh cinta dengan Liga Malaysia (Liga-M) terutama pasukan TFC.

"Awal musim ini saya mendapat tawaran daripada sebuah kelab di Thailand, tapi saya menolak kerana sudah gembira bersama TFC selain Liga M yang mencabar bukan kepada pemainnya saja malah juga pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 2:08 PM