Skuad TCFC ketika muncul juara Piala FAM tahun lalu. FOTO NSTP.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


"INI berita menggembirakan kami," kata bekas pemain sayap Terengganu City FC (TCFC), Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi, 31.

Bekas pemain terbaik pada final Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim lalu itu berkata demikian selepas FAM memaklumkan 21 bekas pemain TCFC bakal mendapat `duit raya’.

"Sudah lama saya menanti berita gembira ini sejak musim lalu, kami harap wang itu dimasukkan ke akaun menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berbaki enam hari lagi.

"Harap perkara ini menjadi kenyataan, terima kasih kepada FAM, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan semua yang terbabit dalam membantu kami lebih-lebih lagi pada bulan mulia ini.

“Wang itu akan dapat digunakan sebagai persiapan membeli pakaian dan sebagainya untuk menyambut ketibaan 1 Syawal nanti,” kata pemain Kelantan United yang beraksi dalam Liga M3 itu.

Bagi seorang lagi bekas pemain skuad itu, Izzaq Faris Ramlan berkata, berita gembira itu melegakannya apatah lagi ketika perayaan Aidilfitri semakin hampir.

“Saya tahu wang itu belum tentu lagi akan dapat bila tetapi saya berharap akan dapat sebelum Aidilfitri jadi bolehlah kami membuat persiapan menyambut hari raya,” katanya.

Semalam, FAM dalam satu kenyataan mengarahkan TCFC menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM411,900 membabitkan bekas pemain kelab itu.


Mohd Khairul Ramadhan (depan) gembira apabila dimaklumkan bakal menerima tunggakan gaji daripada TCFC.

Sementara itu, bekas pengurus TCFC, M Rezal A Bakar berkata, pasukan TCFC sudah tidak wujud lagi dan situasi ini sukar untuk diselesaikan sebagaimana yang dimaklumkan oleh FAM.

“Bukan setakat TCFC sudah tidak wujud malah pihak pengurusan pun sudah tidak ada, macam mana nak bayar tunggakan gaji bekas pemain itu.

“Jika kereta tak bayar boleh tarik balik tetapi saya merasakan tidak boleh buat apa-apa bagi pengurusan dan pasukan yang sudah tidak wujud malah gaji saya sebelum ini pun tidak dibayar.

“Namun begitu pengurusan tertinggi TCFC tidak boleh lepas tangan dan lari begitu saja, mereka perlu bertanggungjawab dan harus menyelesaikan segala hutang lebih-lebih lagi dalam mesyuarat khas Disember lalu bersama kerajaan negeri, pihak pengurusan skuad itu berjanji untuk menyelesaikan semua hutang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 7:04 PM