Abramovich berada di tempat duduk penonton menyaksikan Chelsea menang. FOTO AFP
Abramovich (kiri) meraikan kejayaan bersama kapten Cesar Azpilicueta. FOTO UEFA
Agensi

PEMILIK Chelsea, Roman Abramovich menyertai skuadnya meraikan kejayaan di Baku, awal pagi tadi, selepas menyaksikan perlawanan kompetitif Blues untuk kali pertama dalam tempoh lebih daripada setahun.

Kelibat bilionair Russia berusia 52 tahun itu tidak langsung dilihat di Stamford Bridge sepanjang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini berikutan masalah visa dihadapinya.

Bagaimanapun, kepulangannya semula menjadi satu pengalaman berbaloi disaksikan selepas Chelsea membenam Arsenal 4-1 untuk menjulang Piala Liga Europa.

Pengerusi Chelsea, Bruce Buck dilihat berada di Baku bertemu rakan sejawatan dari Juve, Andrea Agnelli di hotel sebelum perlawanan bermula.

Agnelli yang berada di Baku atas urusan perniagaan UEFA tetapi media Itali melaporkan mereka juga turut membincangkan masa depan jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri.

Mereka turut melaporkan Sarri dan Agnelli mengadakan pertemuan di sebuah hotel lima bintang tetapi perbincangan tidak sempat dirakam oleh kamera.

Juventus mahu mendapatkan khidmat Sarri selepas Massimiliano Allegri meninggalkan kelab itu.

Bos Blues itu menyedari tawaran dibuat oleh Juve dan menyatakan minat untuk bertugas di Turin.

Kelab Serie A itu yakin dapat membawa Sarri kembali ke Itali sehinggakan sudah memberitahu pemain kelab itu pengendali berusia 60 tahun terbabit akan mengambil alih kelab itu musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 2:05 PM