DR ZULAKBAL diberi tempoh dua minggu balas surat tunjuk sebab selepas mengkritik MFL.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


NAIB Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Dr Zulakbal Abd Karim menerima surat tunjuk sebab daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kritikan pedasnya di atas kelemahan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menguruskan perjalanan liga tempatan.

Dr Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini berdepan tindakan berat susulan kenyataannya itu yang disabitkan atas kesalahan artikel 88 kerana mengkritik menggunakan saluran media tanpa kebenaran badan induk itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Dr Zulakbal adalah di atas kapisitinya selaku ahli PJBM yang juga ahli gabungan FAM.

Katanya, tidak timbul sama ada badan induk itu mahupun MFL tidak boleh disentuh, namun biarlah ia mengikut saluran dan proses yang betul.

“Dari segi ini, dia memegang jawatan sebagai Naib Presiden PJBM dan PJBM adalah ahli gabungan FAM.

Sebagai badan induk, kita perlu pastikan semua ahli gabungan mengikut proses dan saluran. Mungkin itu adalah pandangan peribadinya, namun dia tidak boleh lari daripada jawatan yang dipegangnya dalam PJBM. Prinsip daripada FAM adalah sebagai ahli kepada badan induk, mereka patut tahu prosedur dan menghormatinya.

“Jika mahu mengemukakan cadangan ataupun kritikan, ahli perlu mengikut saluran terbabit dan bukan mengambil peluang untuk menggunakan media untuk agenda tersendiri. Saluran yang ada boleh membantu pandangan itu supaya diambil dengan betul,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya, mengapakah FAM yang mengambil tindakan sedangkan kritikan dilemparkan Dr Zulakbal adalah ditujukan kepada MFL, Stuart menjelaskan bahawa badan liga itu sebenarnya turut berada dalam sistem FAM.

“Dalam statut FAM, perjalanan liga yang kini diuruskan sepenuhnya MFL juga dalam kawalan FAM. Jadi, tanggungjawab FAM sebagai badan disiplin untuk mengambil maklum mengenai hal terbabit,” katanya.

Dr Zulakbal diberi tempoh selama dua minggu bermula kelmarin untuk membalas surat tunjuk sebab berkenaan sebelum ia dibincangkan dalam Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:30 AM