LUIS Gustavo Camilo. FOTO ihsan TFC
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyambar pemain tinggi lampai kelahiran Brazil, Luis Gustavo Camilo bagi memantapkan lagi jentera pertahanan pasukan itu.

Kehadiran bekas pemain kelab Serie D Brazil, Ferroviaria itu bermakna bekas pertahanan kental TFC sebelum ini, Igor Zonjic terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakannya dalam skuad itu yang diwakili sejak musim lalu.

Menerusi kenyataan rasmi di laman sosial Facebook PBSNT pemain berusia 27 tahun diberi julukan 'The Tanker' itu disahkan akan menyarung jersi skuad hitam putih pada baki saingan musim ini.

Memulakan karier bersama kelab remaja terkemuka Brazil, Fluminense, Camilo kemudian berkelana ke beberapa kelab antaranya Beira Mar dan Estoril di Portugal serta kelab Manama dalam Liga Bahrain pada 2017 sebelum menyarung jersi kelab di negaranya, Ferroviaria.

Camilo yang dijangka tiba di Terengganu pada awal Jun depan akan menyertai latihan sebelum saingan Liga Super kembali bersambung menurut kenyataan itu. Kehadiran pemain berketinggian 1.89 meter itu dijangka bakal digandingkan dengan Nasrullah Hanif Johan di posisi pertahanan tengah bertemu Melaka United pada 15 Jun depan.

Sementara itu nasib seorang lagi pemain import TFC dari Kemboja, Thiery Chantha Bin, yang disebut akan diketepikan dijangka selamat kerana setakat ini PBSNT hanya mengumumkan seorang saja pemain import baharu skuad itu walaupun beberapa pemain dari negara Asean menjadi perhatian.

Antara yang disebut-sebut adalah pemain PKNS FC kelahiran Kemboja, Chan Vathanaka, pemain Ceres-Negres FC dalam Liga Filipina, Carli de Murga dan pemain berdarah campuran Jerman, Kevin Ingreso.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 11:21 PM