Raileanu (tengah) ungguli peringkat keempat di China. FOTO Ihsan TSC.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


TEAM Sapura Cycling (TSC) menerusi pelumbanya dari Moldova, Cristian Raileanu menjuarai peringkat keempat Tour of Taiyuan di China, hari ini.

Raileanu mencatatkan satu jam 59 minit 17 saat untuk muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat di Taihang Baguancia Scenic selepas bermula di Changzhi.

Tempat kedua dimenangi pelumba Bike Aid, Nikodemus Holler dari Jerman manakala Antoine Leplingard daru DCBank Pro Cycling Team ketiga pada perlumbaan sejauh 87.2 kilometer itu.

Ia adalah kemenangan peringkat kedua diraih pelumba berusia 26 tahun berkenaan bersama TSC selepas memenangi satu peringkat perlumbaan di Tour de Iskandar Johor (TdIJ) pada bulan lalu.

Kemenangan peringkat keempat membolehkan Raileanu berada di kedudukan ketiga kategori pecut dengan mengumpul 15 mata, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Martin Laas dari Team Illuminate.

"Kita gembira dengan pencapaian ini dan berharap mampu melonjakkan dia untuk merebut jersi pecut berbaki dua peringkat lagi," jelas pengurus TSC, Mohd Sayuti Zahit.

Turut disenaraikan TSC untuk beraksi di Tour of Taiyuan adalah pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL), Benjamin Dayball, Marcus Culey, Jesse Ewart, Mario Vogt dan Akmal Hakim Zakaria.

Bagi kategori berpasukan, TSC kekal di kedudukan kedua dengan mengumpul 32 jam 17 minit 01 saat, ketinggalan kepada Neri Sottoli-Selle Italia-KTM dari Itali yang mencatatkan 31 jam 59 minit 32 saat.

Bagaimanapun, nasib berbeza bagi skuad negara apabila hanya Nik Mohd Azwan Zulkifli meneruskan cabaran selepas rakan sepasukan yang lain gagal menamatkan perlumbaan sejak peringkat pertama.

Perlumbaan yang berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia yang bermula pada Ahad lalu kini berbaki dua peringkat membabitkan Guanquelou ke Hejin (134.4km) dan Pingyao ke Taiyuan (100km).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 10:08 PM