Lazarus Kaimbi. FOTO Agensi.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PENYERANG import dari Namibia, Lazarus Kaimbi sah menyarung jersi skuad Pahang bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sumber Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata, pemain berumur 31 tahun itu menyertai skuad Tok Gajah bagi menggantikan tempat pemain import dari Brazil, Jose Eduardo atau Ze Love.

"Kami mengesahkan bahawa Kaimbi secara rasmi menjadi pemain baharu Pahang dan dia diberi peranan untuk memperkuatkan jentera serangan.

"Kehadiran Kaimbi ketika tarikh tutup jendela perpindahan pemain tamat hari ini adalah bagi membantu pasukan yang kini berdepan masalah ketumpulan bahagian serangan.

"Kontrak Kaimbi bersama Pahang sehingga hujung musim ini bagi mengharungi baki saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia," kata sumber itu.

Dengan pengesahan itu, Kaimbi yang pernah beraksi dengan tiga kelab Thailand iaitu Bangkok Glass, Chiangrai United dan Suphanburi dijangka bergandingan dengan Dickson Nwakaeme.

Difahamkan, penyerang dari Namibia itu menggantikan Ze Love yang ditamatkan kontrak lebih awal kerana gagal mempamerkan aksi memuaskan sepanjang saingan musim ini.

Selain Kaimbi, Pahang turut menyenaraikan empat import iaitu Nwakaeme dari Nigeria, Eduardo (Brazil), Herold Goulon (Perancis), Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 5:55 PM