Andre Villas-Boas ganti Rudi Garcia. FOTO Agensi.
Reuters

BEKAS bos Chelsea dan Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas (AVB) dilantik sebagai ketua jurulatih Olympique de Marseille dengan dua tahun kontrak menurut jurucakap kelab Ligue 1, hari ini.

Warga Portugal Villas-Boas, 41, menggantikan Rudi Garcia, yang meninggalkan kelab itu selepas menamatkan musim yang mengecewakan di tangga ke lima sekali gus gagal layak bersaingan di Liga Juara-Juara musim depan.

Villas-Boas tidak menjadi jurulatih sejak meninggalkan kelab Liga Super China, Shanghai SIPG pada November 2017.

Selama setahun di kelab itu, dia menamatkan saingan naib juara dalam liga dan Piala FA China, termasuk separuh akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Selepas memulakan karier kejurulatihan sebagai pembantu kepada Jose Mourinho, Villas-Boas memecah rekod peribadi dengan membawa Porto mencapai tiga kejuaraan, termasuk takhta Liga Europa pada 2011.

Tugas pengurus bersama Chelsea hanya bertahan selama 12 bulan sebelum dia menyertai Spurs kemudian dipecat selepas satu setengah musim di kelab itu.

Dia tidak memenangi sebarang gelaran bersama kelab di London namun membantu Zenit St Petersburg memenangi Liga Perdana Russia pada 2015 dan diikuti Piala Russia tahun berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 1:49 AM