PEMAIN Aston Villa meraikan kemenangan di final playoffs. FOTO Reuters
Reuters

ASTON Villa kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas tiga tahun sebaik menewaskan Derby County 2-1 pada final playoff Liga Kejuaraan di Wembley awal pagi ini.

Jaringan daripada Anwar El Ghazi dan John McGinn meletakkan Villa 2-0 di depan sebelum Martyn Waghorn merapatkan jurang buat Derby pada minit ke-81, namun skuad Dean Smith terus bertahan untuk meraih kejayaan itu meskipun berdepan cabaran sengit.

Final playoff itu dianggap sebagai perlawanan tunggal bola sepak termahal di dunia yang memberikan pulangan 170 juta pound (RM902 juta) kepada Villa.

Norwich City dan Sheffield United sudah pun mengesahkan kenaikan pangkat ke liga utama musim depan selepas menduduki dua tangga teratas dalam kejohanan divisyen kedua itu.

El Ghazi membuka jaringan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi tandukan hasil hantaran dari kanan oleh Ahmed Elmohamady.

McGinn menggandakan kelebihan pada minit ke-59 apabila bola muntah daripada El Ghazi melantun ke kawasan penalti dan penjaga gol Derby Kelle Roos cuba mendapatkan bola tetapi gagal apabila McGinn pantas merobek gawang lawan.

Derby yang dikendalikan bekas pemain tengah Chelsea dan England Frank Lampard, kembali menghidupkan saingan apabila hantaran rendah pemain gantian Jack Marriott berjaya disempurnakan Waghorn dan kemudiannya terus memberikan tekanan pada minit terakhir tetapi gagal menemui jawapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 12:53 AM