Guilherme (dua, kiri) diasak pemain PKNP di Stadium Bola Sepak Cheras. FOTO NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Syazwan Msar
am@hmetro.com.my


AKIBAT terleka dan sering melakukan kesilapan mudah menyebabkan pemain PKNP ‘layak’ dihukum dengan kekalahan 4-1 terhadap Kuala Lumpur sekali gus pasukan berkenaan kini berada di zon penyingkiran.

Perkara itu diakui jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim yang melihat anak buahnya mudah terleka hingga membenarkan pihak lawan menyumbat gol tiga gol dalam tempoh lapan minit perlawanan.

Abu Bakar berkata, masalah terbabit yang sering menjadi kebimbangannya apabila barisan pemain PKNP terutama di bahagian pertahanan melakukan kesilapan mudah seterusnya sukar untuk pasukan meraih kemenangan.

“Apa boleh saya katakan perlawanan malam tadi cukup mengecewakan apabila pemain sering melakukan kesilapan mudah dan terdapat dua tonggak tidak dapat bermain yang merumitkan lagi keadaan,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengendali skuad The City Boys, Chong Yee Fat mahu anak buah meneruskan momentum kemenangan untuk terus perbaiki kedudukan sekali gus mengelak daripada berada di zon penyingkiran.

Katanya, barisan pemain Kuala Lumpur mula menunjukkan keserasian terutama kerjasama antara pemain import iaitu Guilherme De Paula dan Paulo Josue.

“Ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki dan berharap pemain dapat menggunakan peluang terhidang untuk menyumbat gol.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi namun melihat pada perlawanan akan datang, Kuala Lumpur seharusnya mengekalkan rentak kemenangan untuk berada dalam zon selesa,” katanya.

Sementara itu, Yee Fatt berkata, beliau tidak mahu terlalu awal memuji atau berpuas hati terhadap persembahan Guilherme dan mahu penyerang itu menunjukkan aksi mantap pada perlawanan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:09 PM