Sze Yuin memeluk Izzati ketika memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2017. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


JURULATIH bola keranjang wanita negara, Yoong Sze Yuin tidak panik walaupun kehilangan lima pemain utama menjelang misi mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina.

Lima pemain negara mengambil keputusan untuk bersara termasuk kapten Nur Izzati Yaakob serta Pang Hui Pin, Chong Yin, Ooi Poh Yee dan Ng Shi Yin.

Bagaimanapun Sze Yuin tidak melihatnya sebagai kekangan untuk memastikan emas buat kali ketiga berturut-turut diraih skuad negara selepas edisi 2015 dan 2017.

"Kebanyakan mereka sudah bermain tiga atau empat Sukan SEA dengan Izzati sendiri sudah 15 tahun bersama skuad negara.

"Memang satu kerugian namun saya melihat ia adalah masa yang sesuai kerana kita tidak boleh sentiasa mengharapkan pemain yang sama," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Tambahnya, persediaan skuad negara bermula sejak Mac lalu dengan 20 pemain dipilih bagi menyertai kem latihan pusat.

"Kami baru pulang dari Perth, Australia dengan latihan persahabatan di jalankan bersama pasukan tempatan.

Ia pendedahan yang bagus apabila kami menang empat dari enam perlawanan dijalankan," tambahnya.

Jelasnya, mereka tidak tertekan untuk mempertahankan emas dan melihatnya dari aspek positif.

Filipina mempertandingkan empat acara di Sukan SEA dengan memasukkan 3×3 sebagai acara baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:51 PM