Perez hampir melanggar dua marshal pada GP Monaco. FOTO Twitter
Twitter

PELUMBA Formula Satu (F1), Sergio Perez hampir membunuh dua marshal perlumbaan pada Grand Prix Monaco di Monte Carlo, semalam.

Pemandu Mexico itu baru keluar daripada hentian pit ketika kereta keselamatan digunakan terus memecut pada selekoh pertama di Sainte Devote sebelum dua marshal tiba-tiba cuba melintas di depan kereta Racing Point dipandunya.

Seorang marshal sempat melepasi masuk ke panel penghalang manakala seorang lagi sempat berhenti tepat pada masanya ketika kereta bergerak melebihi 135 bsj (220 kmh).

Perez lega dan bersyukur kerana dapat melepasi kedua-duanya tanpa sebarang kecederaan serius atau kemalangan meragut nyawa mereka.


Tindakan dua marshal cuba melintas di trek membuatkan Perez terkejut. FOTO REUTERS

Bercakap menerusi radio pasukan serta-merta selepas itu, Perez berkata: “Apa yang tidak kena dengan dua marshal itu? Saya hampir membunuh mereka.”

Sejurus perlumbaan berakhir, Perez yang menamatkan saingan di tempat ke-13 berkata: “Mereka sedang berlari di atas trek dan saya baru keluar daripada hentian pit.

“Saya terpaksa menekan brek dan bernasib baik dapat mengelak.

“Mereka biasanya sangat bagus tetapi faktor keselamatan mesti diutamakan dan itu perkara paling penting kepada marshal dan pemandu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 1:50 PM