NICOL berjaya bergelar juara dunia sebanyak lapan kali.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


SUSULAN keputusannya untuk bersara daripada arena skuasy baru-baru ini, Datuk Nicol David kini ‘bebas’ untuk mengubah rutin kehidupannya yang sebelum ini sarat dengan segala macam bentuk latihan.

Tiada lagi latihan angkat berat, gimnasium, diet pemakanan yang seimbang, disiplin yang ketat atau sebagainya ketika bergelar atlet berkelas dunia untuk tempoh lebih dua dekad.

Dia jelas sedang ‘menikmati’ tempoh persaraannya dengan entri di media sosialnya dilihat turut berubah dengan dia kini berada di bandar pelabuhan, Kingston upon Hull di England.

“Babak luar biasa sudah berakhir. Kini permulaan yang baru. Terima kasih... terima kasih... terima kasih,” menurut Nicol di dalam laman Instagram miliknya.

“Makan, tidur... ulanginya semula,” katanya ketika ditemuramah sebuah portal www.buro247.my baru-baru ini.

Bekas atlet berusia 36 tahun itu mengabadikan diri dengan skuasy sejak berusia lima tahun dan Nicol mencipta nama di pentas antarabangsa apabila menjuarai Kejohanan Remaja Dunia pada 1999 disusuli gelaran pertama di Terbuka Savcor Finnish pada 2000.


DIA kini berada di bandar pelabuhan, Kingston upon Hull di England.

“Saya mahu melakukan semuanya dan mengharungi detik di mana saya tidak perlu memikirkan tentang skuasy atau kejohanan. Saya tidak pernah berpeluang melakukannya, jadi ia pasti menarik.

“Saya akan mula belajar perkara baru dan sudah pasti mengembara kerana saya seorang yang aktif. Saya akan mengembara untuk seketika... dalam tempoh beberapa bulan sebelum kembali memberi tumpuan kepada projek,” katanya kepada portal berkenaan.

Sesuai dengan reputasinya sebagai atlet terulung, dia sudah merangka dengan teliti projek selepas persaraannya di Terbuka British bulan ini.

“Saya akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bagi meningkatkan kesedaran terhadap skuasy secara global selain mengembangkan lagi jelajah berkenaan secara keseluruhan.

“Menerusi Yayasan Nicol David, generasi baharu di Malaysia akan diasah bagi mencapai potensi penuh selain memberikan inspirasi, sokongan dan motivasi.

“Saya mahu menggalakkan lebih ramai wanita terbabit dalam sukan. Saya akan memberikan motivasi kepada semua orang menerusi forum, penulisan dan sebagainya,” katanya.

Nicol berjaya bergelar juara dunia sebanyak lapan kali selain pemain nombor satu dunia selama 109 bulan bermula 2006 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:01 AM