FARIZAL (kanan) terima padah akibat bermulut lancang. FOTO NSTP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


SIKAP ‘panas baran’ yang ada dalam diri penjaga gol Selangor, Farizal Harun terus membawa padah buat pemain berkenaan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikhabarkan akan turut mengambil tindakan terhadapnya.

Belumpun majikan Farizal, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan bentuk hukuman yang bakal dikenakan, FAM pula tampil dengan tindakan sama.

Bagi pihak FAM, mereka mahu menunggu terlebih dulu apa yang akan diambil FAS kerana tidak mahu hukuman mereka bertindih dengan apa yang diputuskan majikan Farizal nanti.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada penjaga gol berkenaan sebelum menentukan bentuk hukuman.

Keputusan itu bermakna, nasib pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu seolah-olah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Stuart berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas Farizal berhubung kejadian itu bagi mengetahui perkara sebenar yang mendorong dia bertindak di luar dugaan.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada pemain berkenaan bagi melengkapkan siasatan sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa tatatertib FAM yang dijangka berlangsung minggu ini.

“Farizal mungkin dikenakan tindakan namun kita mahu menunggu bentuk hukuman yang dikenakan FAS. Kita tidak mahu hukuman itu bertindih dengan hukuman kami,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Semalam, Arena Metro melaporkan, sikap panas baran Farizal memakan diri apabila FAS bakal mengambil tindakan tegas ke atasnya susulan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong Red Giants sejurus tewas 0-1 kepada Terengganu FC di Kuala Terengganu.

Dia turut mencetuskan kontroversi apabila menumbuk pemain PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Afandi minggu lalu dan dilihat tidak serik dengan mengulangi perkara sama apabila nyaris bergaduh dengan penyokong sendiri.

Berikutan itu, FAS menerusi kenyataan rasmi berkata, persatuan mengambil serius isu itu dan menjelaskan Farizal sudah membuat permohonan maaf di atas kesilapannya.

Selain itu, video ringkas Farizal dimuat naik di Instagram selangorfans_official dengan bekas penjaga gol FELDA United itu memohon maaf secara terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:31 AM