LAPORAN kemalangan jalanraya yang membabitkan pertahanan Melaka United, Faizal Muhamad awal pagi tadi.
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) mendoakan pemain pertahanan skuad Melaka United (MU) Faizal Muhamad yang terbabit dalam kemalangan jalanraya awal pagi tadi tidak mengalami kecederaan serius.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata ketika ini Faizal diberitakan tidak mengalami kecederaan serius pada anggota luaran badan walaupun kenderaannya remuk teruk selepas terbabit kemalangan di Lebuh Pantai Timur (LPT) di Jabor, Pahang.

Katanya, hanya kecederaan di jari kaki dan luka-luka di kepala dan anggota badan dan kini dirawat di hospital Kuantan.

Menurutnya, harapan MUSA serta rakan sepasukan, jurulatih dan seluruh peminat Hang Tuah, bekas kapten PDRM itu segera sembuh.

“Faizal berada dalam senarai simpanan ketika MU menewaskan Perak 3-2 di Ipoh malam tadi. Mereka bergerak pulang bersama rakan sepasukan ke Melaka selepas perlawanan.

“Namun tidak menduga selepas sampai di Melaka dia bertolak balik ke kampung di Terengganu selepas diberi cuti dua hari, namun kami dikejutkan dengan berita kemalangan berkenaan,” katanya.

Farhan berkata, MUSA masih menanti laporan penuh doktor berkaitan tahap kecederaannya.

Sementara itu jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan berkata, dia juga mengharapkan Faizal tidak mengalami kecederaan dalaman akibat insiden berkenaan.

Beliau berkata, Faizal sering mendapat tempat dalam senarai pasukan dan dia antara pilihan pemain gantian di posisi benteng pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 8:50 PM